Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) Suhaimi Khalidi (kiri) menyampaikan cek berjumlah RM30,000 kepada Penolong Pengurus Seksyen Perancangan Strategik Yide Muhammad Hafiz Bahari (kanan) di Ibu Pejabat Yide pada 10 November 2021. Foto Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide terima dana RM30,000 biaya kompleks anak yatim Pulau Indah

SHAH ALAM, 10 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima dana berjumlah RM30,000 daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi membiayai pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah, Klang.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata melalui sumbangan itu, yayasan berkenaan kini berjaya mengumpul sebanyak RM7 juta bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, sejumlah RM4 juta lagi diperlukan untuk memulakan projek pembangunan kompleks yang dijangka awal suku kedua tahun depan.

“Sumbangan sebegini memang diharapkan kerana kita mahu bina kompleks anak yatim yang mempunyai infrastruktur sempurna dan lengkap bagi memberi keselesaan kepada penghuni.

“Kita juga mengalukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang lain serta orang ramai untuk bersama merealisasikan hasrat ini demi membina masa depan anak yatim,” katanya kepada Selangorkini.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/.

Selain itu, ia juga boleh dibuat melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay .

Sehingga kini, seramai 8,000 anak yatim dan 19 rumah anak yatim sekitar Selangor berdaftar secara rasmi di bawah yayasan itu.


Pengarang :