EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian (dua,kiri) melakukan gimik perasmian Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) ke-31 di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

10 kapal berentap dalam kejohanan perlumbaan kapal layar edisi ke-31

PELABUHAN KLANG, 11 DIS: Sebanyak 10 kapal layar berentap dalam The Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) edisi ke-31 bermula hari ini hingga 18 Disember depan.

Perlumbaan lapan hari itu akan bermula di Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah.

Pengerusi RMSIR Jeff Harris berkata walaupun hanya disertai pasukan tempatan akibat sekatan perjalanan antarabangsa namun kemeriahan kejohanan perlumbaan kapal layar kedua tertua di Asia itu tetap dirasai.

Menurutnya, ini kerana kejohanan itu bakal diserikan kehadiran atlet olimpik, Khairulnizam Mohd Afendy yang akan mengetuai pasukan Star Sailors League (SSL) yang menggunakan kapal Meraki.

“Kita gembira kejohanan ini dapat dianjurkan semula selepas dibatalkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19,” katanya berucap pada majlis pelancaran RMSIR ke-31 di Kelab Kapal Layar Diraja Selangor di sini, semalam.

Kejohanan dilancarkan EXCO Pelancongan, Hee Loy Sian.

Empat perhentian edisi kali ini adalah Pelabuhan Klang, Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

Selain Meraki, kapal lain bertanding dalam kelas satu adalah Uranus dan The Next Factor.

Kelas dua meliputi Insanity, Gloki D Acqua, Nijinsky dan VG Offshore manakala kelas tiga, Marikh dan Dash.

Kapal Candice 11 pula menjadi wakil tunggal bagi kelas empat.

RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan paling sukar di Asia Tenggara.

Ia adalah hasil ilham Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.

 


Pengarang :