Selangorkini
EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 1 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

10 sekolah jadi medan cungkil bakat baharu bola sepak

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 10 buah sekolah di negeri ini dijadikan platform bagi mencari bakat baharu bola sepak bermula dari peringkat akar umbi, kata EXCO sukan.

Lima daripadanya merupakan akademi tunas meliputi Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Putra Heights 2, SK Kajang, SK Batu Sembilan 9 dan SK Taman Bunga Raya 2, Hulu Selangor.

Sementara pusat latihan daerah merangkumi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, SMK Meru, SMK Shah Alam, SMK Kuala Kubu Bahru dan SMK Tinggi, Kajang, jelas Mohd Khairuddin Othman.

“Kerajaan Negeri melalui Persatuan Bolasepak Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa peka dengan program mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman berhubung cadangan membuka klinik bola sepak dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Mohd Khairuddin berkata Kelab Bola Sepak Selangor juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri melalui program Soccer Schools dengan penyertaan 80 pelajar dari setiap 12 sekolah di dua daerah.


Pengarang :