Selangorkini
Sebahagian pelajar mendaftar sebelum menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 dos penggalak DUN Seri Kembangan habis ditempah dalam enam jam

SHAH ALAM, 16 DIS: Kuota 1,000 dos penggalak yang disediakan untuk penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster penuh dalam tempoh enam jam.

Wakil rakyat Ean Yong Hian Wah berkata pihaknya membuat hebahan program itu kelmarin pada jam 9 pagi dan slot janji temu yang disediakan habis didaftar secara dalam talian kira-kira 3 petang.

“Saya tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan dan masyarakat sedar kepentingan mendapat dos penggalak dalam mengekang penularan Covid-19.

“Oleh demikian, saya mengingatkan mereka yang telah mengisi borang bagi mendapatkan dos penggalak supaya hadir pada tarikh yang ditetapkan dan jangan bazirkan peluang ini,” katanya.

Tambah Hian Wah, pihaknya mempertimbang untuk melakukan siri kedua pemberian dos berkenaan menerusi program Selvax Booster.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada bekalan vaksin yang dimiliki Kerajaan Negeri. Jika tidak, mungkin Selvax Booster di DUN Seri Kembangan hanya sekali sahaja,” katanya.

Program Selvax Booster Seri Kembangan yang diadakan pada 30 Disember ini diadakan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang di Dewan Serbaguna Kompleks 3K Serdang Raya.

Suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster diadakan di lima DUN mulai 17 Disember hingga hujung bulan ini.

Bermula di Balakong pada Jumaat, program seterusnya di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember).

Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.


Pengarang :