Beberapa kenderaan berada di luar pagar dipercayai dinaiki ahli keluarga pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya tidak dibenarkan masuk pada 2 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

150 pelajar Seri Puteri Cyberjaya jadi kontak rapat dipindah ke IAB Bandar Enstek

SEREMBAN, 3 DIS: Seramai 150 pelajar tingkatan lima Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya, Sepang yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di sekolah berasrama penuh itu dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, dekat sini malam tadi.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata langkah itu bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.

“Sebentar tadi saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di SSP.

“Insya-Allah pelajar lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin. Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan (kemudahan) dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” kata beliau menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya.

Semalam Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dipetik sebagai berkata kes positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya kini sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :