Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik positif Covid-19

ALOR SETAR, 3 DIS: Seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik di Taman Pelangi Jaya dekat Sik, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, telah melaporkan satu kluster institusi pendidikan yang baharu dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

“Setakat ini sebanyak 24 kes positif telah dikesan, yang mana kesemuanya melibatkan pelajar-pelajar lelaki di asrama sekolah berkenaan.

“Kes kluster ini dikesan setelah beberapa pelajar mengalami gejala bermula 28 November lalu dan pihak pengurusan sekolah telah melakukan saringan bersasar kepada pelajar terlibat, dan kes mula didaftarkan positif pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring yang mana 24 daripadanya positif, 14 negatif dan tiada sampel menunggu keputusan yang lain hari ini.

“Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik. Pihak PKD Sik juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap kes-kes positif, manakala kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diarahkan menjalani kuarantin.

“Notis penutupan sekolah juga telah diberikan dan berkuat kuasa hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Pastikan patuh penjarakan fizikal sepanjang masa, elak bersentuhan dan bersembang dekat, pakai pelitup hidung dan mulut, hindari kawasan sesak, kerap mencuci tangan dan dapatkan imunisasi Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :