Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyampaikan sijil graduasi kepada penerima ketika majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-23 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

2,407 graduan Kuis dirai pada majlis konvokesyen

KAJANG, 1 DIS: Seramai 2,407 graduan diraikan menerusi Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kali ke-23 yang diadakan mulai hari ini hingga 6 Disember.

Pemangku Rektor Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata majlis itu berlangsung di Pusat Konvokesyen Kuis membabitkan mahasiswa daripada peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

“Majlis konvokesyen ini sepatutnya dianjurkan tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

“Justeru, Kuis mengambil langkah proaktif menganjurkan acara ini secara fizikal dengan hanya melibatkan graduan sahaja berikutan perlunya pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), di samping mengutamakan keselamatan serta kesihatan pelajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, majlis terbabit juga adalah simbolik kepada sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan Kuis pada 1995.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan dari 1998 hingga 2020 adalah seramai 23,297 orang.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada mahasiswa terhadap usaha keras yang mereka berikan sepanjang pengajian. Semoga ia menjadi dorongan kepada pelajar lain untuk lebih berjaya,” katanya.

Graduan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Majlis Konvokesyen Kuis menerusi portal e-konvo http://ekonvo.kuis.edu.my atau layari laman sesawang www.kuis.edu.my .


Pengarang :