Gelagat pengguna jalan raya yang tidak dapat meneruskan perjalanan ekoran hujan lebat sepanjang hari dan banjir yang melanda di beberapa tempat sekitar Lembah Klang ketika tinjauan di sekitar Seksyen 21 awal pagi 19 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

300 penduduk Taman Sri Muda diselamatkan, dibawa ke pusat pemindahan

SHAH ALAM, 19 DIS: Seramai 300 penduduk sekitar Taman Sri Muda di Seksyen 25 di sini yang terkandas akibat banjir luar biasa sejak semalam diselamatkan setakat pagi ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari menerusi Twitter sebentar tadi menjelaskan mereka telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Setakat pagi ini seramai 300 penduduk di kawasan Sri Muda telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke PPS,” katanya.

Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan bantuan bot persendirian dari individu dan orang awam bagi meningkatkan aset yang ada dengan menghubungi 03-55105811.

Terdahulu, pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 6,242 mangsa banjir ditempatkan di 80 PPS setakat jam 8 pagi tadi.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.


Pengarang :