V Ganabatirau (tiga, kiri) bergambar bersama guru SJKT Simpang Lima yang memenangi SJKT terbaik pada Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR Pelajar SJKT Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

337 murid SJKT terima anugerah cemerlang UPSR

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 337 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2019 menerima pengiktirafan Kerajaan Negeri.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata daripada jumlah itu, seramai 101 murid memperoleh keputusan 8A menerima wang tunai RM200, 113 murid 7A (RM150) dan 123 murid 6A (RM100).

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM49,450 secara keseluruhan bagi mengiktiraf usaha pelajar meskipun majlis keraian agak lewat selepas tertangguh selama dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis yang diadakan pada setiap tahun sejak 2013 merupakan agenda pendidikan yang bertujuan menghargai kejayaan pelajar, guru dan pihak sekolah,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR bagi pelajar SJKT di Selangor.

Pada majlis sama, Ganabatirau turut menyampaikan anugerah Anugerah Tokoh Guru SJKT dan wang tunai RM500 kepada lima individu R Ramasamy, P Chelliah, K Chandrathevy, P Pachiappan dan L Balasundaran.

SJKT Simpang Lima pula meraih SJKT terbaik dan membawa pulang RM10,000 diikuti tempat kedua SJKT Kajang (RM6,000) dan SJKT Puchong (RM4,000).


Pengarang :