Pekerja kontrak Rapid Bus Sdn Bhd (RAPID BUS) Muhammad NorHelmi Md Jawi melakukan rutin harian kerja-kerja semburan sanitasi dan nyahkuman bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pada setiap bas yang digunakan selepas mengambil penumpang ketika tinjauan di Kompleks Rapid Bus Batu Caves pada 25 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

3,573 kes baharu Covid-19, lima lagi kluster dikesan

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Sebanyak 3,573 kes harian Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif kini 2,758,086.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 52 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 3,521 kes (98.5 peratus) lagi adalah kategori satu dan dua.

Beliau memaklumkan kes harian itu melibatkan 3,230 kes penularan tempatan dan 343 kes import, sementara 3,988 kes sembuh menjadikan jumlah kes sembuh kumulatif kini 2,685,378.

“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 269 dan 163 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lima lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 217 kluster manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.98 setakat semalam.

Mengenai kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata setakat hari ini, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 444 orang.

Katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.

Bagaimanapun, katanya terdapat empat kes penyakit berjangkit dikesan melibatkan mangsa banjir hari ini, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak tiga kes dan penyakit kulit sebanyak satu kes.

– BERNAMA


Pengarang :