Seorang wanita membonceng anaknya meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

400 pencawang elektrik tidak berfungsi, kerja pam air lokasi banjir terjejas

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak 400 pencawang masih elektrik belum berfungsi memberi kesan kepada proses pengepaman air banjir di negeri ini, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata jumlah itu sangat banyak dan memberikan kesan kepada kawasan perumahan, kilang dan pam air sejak beberapa hari lalu.

“Masalah utama adalah bekalan elektrik, semalam TNB memaklumkan daripada kira-kira 1,000 pencawang elektrik di seluruh Selangor, 400 masih belum dapat dihidupkan balik,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

Tambah beliau proses menyedut air banjir di kawasan yang terjejas banjir juga bermula sejak malam semalam.

Katanya, beberapa pam air diterima daripada pelbagai pihak termasuk dari kerajaan persekutuan bagi menyalurkan air banjir ke sungai dan parit besar berdekatan.

“Pam-pam ini dihantar ke tempat yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga, Batu Tiga dan Taman Sri Muda di Shah Alam dan kerja-kerja pengepaman air telah bermula pada malam semalam.

“Di Klang sahaja sebanyak 56 pam air digunakan bagi tujuan berkenaan,” katanya.


Pengarang :