Beberapa kawasan di Taman Mutiara, Dengkil masih ditenggelami air ketika tinjauan pada 20 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

45 jalan di Selangor masih ditutup susulan banjir

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Meskipun cuaca bertambah baik namun, musibah banjir yang melanda negara sejak Sabtu lepas masih tidak menunjukkan perkembangan positif yang besar.

Di Selangor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 45 jalan masih ditutup, berkurangan daripada jumlah semalam iaitu 73 jalan yang melibatkan enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini bagi laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 4 pagi tadi.

Penutupan jalan-jalan itu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat (26); Subang Jaya (11); Sepang (4); KLIA (2) dan masing-masing satu jalan melibatkan IPD Klang Utara dan Hulu Selangor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.50 pagi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat daripada 24,533 mangsa melibatkan 6,907 keluarga malam tadi kepada 24,647 mangsa dari 6,935 keluarga melibatkan 134 pusat pemindahan sementara (PPS).

-BERNAMA

 


Pengarang :