Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan peningkatan paras sungai yang menyebabkan banjir.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata keadaan itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 manakala LRA Sungai Langat hanya mengeluarkan 40 peratus bekalan daripada pengeluaran harian.

“Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

“Di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa di henti tugas berikutan banjir” katanya di Facebook.

Air Selangor memaklumkan pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

“Selain itu, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan terjejas tidak dapat dilaksanakan kerana kebanyakan jalan utama ditutup akibat banjir.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan menerusi semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

 


Pengarang :