EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan sempena sidang Dewan Negeri Selangor pada 2 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

4,902 pengguna manfaat aplikasi kesihatan mental negeri

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 4,902 rakyat negeri ini berdaftar dan menggunakan aplikasi program Selangor Mental Sihat (Sehat) sejak 1 September.

Jumlah itu termasuk mereka yang membuat saringan dan ujian literasi kesihatan mental hingga 21 November, kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata sebanyak 18,253 tontonan turut direkodkan bagi 30 video pendidikan kesihatan mental dalam aplikasi yang dilancarkan pada 30 Ogos.

“Bilangan yang dinasihati melalui aplikasi ini seramai 89 orang. Mereka menjalankan konsultansi secara dalam talian dan melalui panggilan lisan bersama kaunselor bertauliah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung prestasi aplikasi Sehat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata julat umur pengguna aplikasi berkenaan secara purata antara 10 hingga 82 tahun dengan majoriti dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun iaitu 57.8 peratus.

Sebelum ini, beliau berkata individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh bertemu pakar segera tanpa perlu menunggu lama, antara yang ditambah baik dalam belanjawan negeri.


Pengarang :