ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menyertai perarakan bersama kanak-kanak pada Program Berkhatan Perdana 2021 DUN Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH), Petaling Jaya pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

60 kanak-kanak DUN Seri Setia sertai khatan beramai-ramai

KELANA JAYA, 5 DIS: Seramai 60 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Program kali kedua dengan kerjasama TH Selangor disertai pelajar sekitar kawasan terbabit berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun, kata Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar.

Menurutnya, program berkhatan secara laser itu membantu ibu bapa melaksanakan ibadah sunah ke atas anak masing-masing selain meredakan rasa takut kanak-kanak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menenangkan seorang kanak-kanak dalam Program Berkhatan Perdana 2021 DUN Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH), Petaling Jaya pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKI JILAN/SELANGORKINI

“Penyertaan program ini dibuka sejak tiga bulan lepas. Pada awalnya ramai ibu bapa risau untuk mengisi borang, namun masuk bulan kedua, sambutan diterima menggalakkan hasil hebahan kepada orang ramai.

“Ibu bapa diberi subsidi dengan bayaran serendah RM80. Pakej ini termasuk ubat tahan sakit, antibiotik, jahitan dan akaun simpanan tabung haji,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program.

Terdahulu, peserta diarak dengan paluan kompang dari pekarangan hotel berkenaan sebelum dibawa ke bilik khas untuk proses berkhatan mengikut kumpulan.

Mengulas lanjut, Halimey berkata kerjasama dengan TH bertujuan menggalakkan masyarakat Islam menjadi pencarum berikutan ramai yang masih belum berbuat demikian.

“Mungkin ramai yang tahu tetapi tidak mencarum dan ada juga yang langsung tidak tahu. Jadi, TH Selangor akan beri galakan kepada mereka untuk mendaftar sebagai pencarum sebanyak RM10.

“Kita juga akan terus bersama TH Selangor untuk turun ke setiap kawasan di Seri Setia bagi membantu dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan mencarum,” katanya.


Pengarang :