Selangorkini
Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS ketika lawatan media pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

73 pelajar, guru sekolah asrama penuh di Cyberjaya positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 71 pelajar dan dua guru Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya dijangkiti Covid-19, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata sejumlah 451 individu disaring melibatkan 437 pelajar, guru (13) dan petugas (satu).

“Semua guru dan pelajar (kecuali empat orang) lengkap vaksinasi.

“Manakala 65 pelajar dipindah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Semua kategori 1 dan 2A, semua stabil,” tulisnya di Twitter.

Tambah beliau, seramai 242 orang kontak rapat dikuarantin yang mana pelajar dikuarantin di asrama SSP.

Malam tadi, Bernama melaporkan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata seramai 65 pelajar tingkatan satu dan dua SSP dijangkiti Covid-19.

Beliau dilaporkan hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh terbabit itu.

“Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan di Twitter.


Pengarang :