Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDASELANGOR

87 individu bakal terima darjah, bintang kebesaran Hari Keputeraan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 87 tokoh dan individu bakal dikurnia darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri berkata daripada 990 pencalonan hanya 17 penerima atau kira-kira 1.7 peratus terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran yang  membawa gelaran.

Dato’ Haris Kassim berkata seorang penerima masing-masing bakal menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (Darjah Kedua) dan pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Beliau berkata seramai 16 orang pula akan menerima pingat Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS)  dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran Dato’ dan Datin Paduka bagi wanita manakala darjah Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) tiada penerima.

“Pada tahun ini Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengutamakan calon-calon daripada barisan hadapan bagi memenuhi kuota darjah bintang kebesaran Negeri Selangor sebagai menghargai jasa dan pengorbanan dalam menggalas tugas membendung penularan pandemik Covid-19.

“Tumpuan juga diberikan kepada penyelaras pengurusan jenazah Covid-19 di negeri Selangor yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Haris berkata seramai 69 individu pula bakal menerima  darjah yang tidak membawa gelaran iaitu:

  • Setia Mahkota Selangor (SMS) – 19 orang
  • Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS)  – 14 orang
  • Ahli Mahkota Selangor (AMS) – 15 orang
  • Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) – 14 orang
  • Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) – tujuh orang

“Semua calon telah melepasi tapisan polis bahagian keselamatan dan jenayah, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

 

 

 


Pengarang :