Pasukan Persatuan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

9,551 maut akibat Covid-19 di Selangor sejak awal tahun

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 9,551 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Selangor antara Januari hingga 2 November lalu, kata EXCO kesihatan awam.

Kaum Melayu mencatatkan angka tertinggi iaitu 4,696 kes, Cina (1,800), India (1,285), lain-lain (52) manakala baki melibatkan warga asing, maklum Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata sebanyak 775 daripada 8,515 kes kematian pula membabitkan individu lengkap dos vaksin antara 1 Jun hingga 30 September lalu.

“Ini bermakna sebanyak 9.1 peratus kematian akibat Covid-19 bagi tempoh itu di negeri ini dalam kalangan penerima vaksin dua dos,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong yang diwakili wakil rakyat Banting Lau Weng Sang berhubung kes kematian wabak di Selangor mengikut pecahan kaum.

Sebanyak 30,425 kes kematian direkodkan di seluruh negara akibat Covid-19 sejak pandemik.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman CovidNow, sebanyak 96.9 peratus atau 22,689,471 populasi dewasa lengkap dos vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.


Pengarang :