Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya pada 25 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

97.8 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Sebanyak 97.8 peratus atau 3,428 kes daripada keseluruhan 3,504 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. berkata baki 76 kes baharu atau 2.2 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 408 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 206 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes sembuh yang dilapor hari ini adalah 4,401 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,606,309,” katanya.

Menurutnya enam kluster baharu dikenal pasti sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 246 daripada keseluruhan 6,043.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 12 Dis mengikut negeri menyaksikan Melaka mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing 1.01, serta Pahang (1.00).

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA


Pengarang :