Petugas memasang penapis air panas di salah sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Selangor. Foto Rodziah Ismail
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Agensi kerajaan, swasta sumbang penapis air panas kepada 25 pusat pemindahan

SHAH ALAM, 25 DIS: Selangor menerima sumbangan penapis air panas daripada dua syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk diserahkan ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.

Koordinator PPS negeri Rodziah Ismail berkata sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak terbabit memudahkan penyediaan susu kanak-kanak dan bayi serta minuman panas.

Beliau menjelaskan sebanyak 18 penapis air mula dipasang hari ini dan esok manakala selebihnya dijangka Isnin di PPS yang memiliki ramai bayi, kanak-kanak serta warga emas.

“Jawatankuasa PPS Selangor menerima banyak permintaan mangsa banjir agar disediakan bekalan air panas bagi memudahkan penyediaan susu untuk golongan terbabit serta minuman panas.

“Sehubungan itu, kita berhubung dengan syarikat pembekal yang boleh menyediakan kemudahan berkenaan di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta dan korporat menyumbang kemudahan sama serta bantuan lain bagi meringankan beban mangsa musibah.

Rodziah berkata pihak terbabit disaran menghubungi bilik gerakan bencana di sembilan daerah untuk memudahkan penyelarasan dan pengurusan PPS.

Setakat semalam, sebanyak 133 PPS yang menempatkan 17,281 mangsa banjir di negeri ini masih aktif dengan 5,000 daripadanya kanak-kanak dan 400 bayi.

Berikut nombor talian khas bilik gerakan bencana daerah:

1. Klang – 03-33716700/03-33725900
2. Petaling – 03-78419462/011-51397467
3. Kuala Langat – 03-31822566
4. Kuala Selangor – 03-32897632
5. Sabak Bernam – 03-32247058
6. Gombak – 03-61201092
7. Sepang – 03-87061212/011-56698501
8. Hulu Langat – 03-89254809/011-61175078
9. Hulu Selangor – 03-60641026


Pengarang :