Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan melawat mangsa banjir, beri sumbangan

SHAH ALAM, 25 DIS : Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS sekitar 9.50 pagi disambut Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut menyambut ketibaan Al-Sultan Abdullah ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Baginda kemudian berkenan mendengar penerangan Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berhubung keadaan banjir.

Yang di-Pertuan Agong turut meluang masa hampir sejam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di PPS tersebut termasuk menghulur sumbangan bagi mengurangkan beban mereka.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selepas lawatan di CIAST, Seri Paduka turut berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam.

Kawasan Taman Sri Muda di sini antara yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, seramai 14 orang dilaporkan meninggal dunia setakat semalam manakala, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :