Pengusaha cili Ahmad Irham Mohd Noor menyembur racun serangga di kebun cili miliknya. Foto BERNAMA
SELANGOR

Air naik paras leher, kebun cili musnah sekelip mata

DENGKIL, 19 DIS: Penduduk daerah Sepang menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

Pengusaha kebun cili Ahmad Irham Mohd Noor, 40, berkata kebun beliau yang terletak di Dengkil telah musnah dalam sekelip mata.

“Banjir kali ini memang terburuk sekali kerana air naik secara mendadak dan tidak surut-surut sejak semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menceritakan detik itu, Ahmad Irham berkata kebun cilinya dinaiki air pukul 8 pagi semalam namun air naik mendadak sehingga paras leher pada pukul 12 tengah hari semalam.

“Kerugian keseluruhan…anggaran kerugian lebih RM50,000. Tiada apa yang tinggal semua peralatan menanam, benih dan pokok cili yang baru naik habis musnah,” katanya.

Ahmad Irham berkata penduduk sekitar memberitahunya kawasan itu tidak pernah berdepan bencana banjir buruk sejak 1971 dan keadaan itu bertambah merisaukan kerana paras air tidak surut malah semakin meningkat.

Beliau berharap bantuan dari pihak berkuasa bukan sahaja memberi tumpuan kepada penduduk, tetapi juga petani kecil yang tinggal sehelai sepinggang.

Tinjauan Bernama di sekitar Dengkil turut mendapati, operasi menyelamat oleh pihak bomba sedang dijalankan.

Kelihatan penduduk Taman Emas dan Taman Mutiara sedang menuju keluar dengan barangan penting kerana dikatakan air yang naik sejak 3 pagi tadi tidak surut, malah semakin naik sehingga paras leher.

Difahamkan seramai 100 penduduk terkandas dan menunggu pertolongan bomba untuk mengeluarkan mereka dari kawasan tersebut.

Penduduk Taman Emas, Suhana Ismail, 40, berkata rumahnya dikira terletak di kawasan tinggi namun air dilihat terus naik sejak 3 pagi tadi.

“Tinggal sini sejak 2009 tapi tidak pernah berdepan banjir teruk macam kali ini. Seteruk-teruknya pun jika hujan lebat air masuk sampai halaman depan. Tapi kali ini air mula masuk rumah dan terus naik sehingga tangga,” katanya.

Beliau yang mempunyai empat cahaya mata termasuk seorang anak kurang upaya itu berkata jiran menolong membawa anak-anaknya menggunakan kolam pelampung kerana keadaan dilihat tidak reda dan khuatir keadaan menjadi buruk malam nanti.

– BERNAMA


Pengarang :