EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 3 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Aktiviti di hutan rimba dibenarkan, tarikan pelancongan

SHAH ALAM, 3 DIS: Aktiviti riadah di hutan rimba dan Taman Eko Rimba masih dibenarkan, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata aktiviti yang tidak dibenarkan adalah di Hutan Simpan Kekal (HSK) khususnya pendakian di mana larangan itu bermula 1 Disember lalu.

“Memang Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengeluarkan notis 1 Disember hingga 31 Januari depan di mana semua HSK ditutup kerana monsun timur laut.

“Selepas saya berbincang dengan pengarah Jabatan Perhutanan kita akan beri kelonggaran kepada hutan simpan rimba kerana ia tempat tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki mengenai notis larangan JPNS ketika penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Bermula 1 Disember, semua aktiviti pendakian di HSK di Selangor ditutup sementara.

JPNS menerusi Facebook memaklumkan, penutupan itu berkuat kuasa hingga 31 Januari tahun depan.

Mengikut poster dikongsi jabatan itu, individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03-55447000, 03-55447507 atau e-mel [email protected] .


Pengarang :