Persembahan Cempuling Kanchong Darat ketika program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan (Sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor) di Istana Bandar, Kuala Langat pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti kebudayaan Selangor tarik minat golongan muda

KUALA LANGAT, 12 DIS: Penganjuran Program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan mampu menyuburkan semula identiti kebudayaan Selangor.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata aktiviti kebudayaan dapat menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk lebih mendalami kebudayaan sekali gus memelihara warisan.

“Kita menjunjung kasih Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Ke-76 hari ini (semalam) dan mahu menghidupkan semula nostalgia pemerintahan Kesultanan Selangor dengan menganjurkannya di pekarangan Istana Bandar.

“Pelbagai acara dijalankan antaranya bengkel tanjak Selangor dan busana yang menggunakan tenunan telepuk yang merupakan pakaian tradisional negeri ini selain makanan tradisional seperti nasi ambeng,” kata Borhan Aman Shah.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata sambutan masyarakat pada program ini amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 individu.

“Program ini dianjurkan buat kali pertama dengan melibatkan badan bukan kerajaan dan kesenian budaya seperti Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

“Impak yang diterima dalam program ini baik dan bercadang menjalankan tiga bulan sekali dengan pengisian program berlainan selain menjadikan Kuala Langat sebagai seni budaya untuk masyarakat,” katanya.

Program Junjungan Kasih Melestarikan Budaya Warisan bermula jam 10 pagi hingga 11 malam di perkarangan Istana Bandar, Jugra.

Antara acara diadakan bengkel tanjak Selangor, persembahan dendang anak kelanang raja sakti, cempuling dan pertandingan sireh junjung warisan.


Pengarang :