Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas majlis pelancaran Konvensyen Tourism Selangor Global di Hotel New World Petaling Jaya pada 10 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti pelancongan domestik, cuti inap meningkat

PETALING JAYA, 10 DIS: Aktiviti cuti inap di hotel sekitar Selangor mendapat sambutan menggalakkan sejak sektor pelancongan dibenarkan pada Oktober.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan rakyat negeri ini memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menginap di hotel sebagai menyokong sektor pelancongan tempatan.

“Kita tengok cuti inap di hotel-hotel di Selangor meningkat dalam tempoh tiga bulan terakhir ini. Kita percaya jumlah akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Namun jumlah sebenar pengunjung ke hotel dan pusat pelancongan negeri hanya akan diperoleh pada suku pertama tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pelancongan Hee Loy Sian, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan duta Kempen Pusing Selangor Dulu Juliana Evans.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata perkara menjadi kebimbangan ialah kaedah memastikan pelancong asing datang ke Selangor sudah menerima vaksin atau sebaliknya apabila sempadan negara dibuka.

“Setakat ini kita yakin lebih 95 peratus rakyat Malaysia sudah divaksin dan ia sedikit sebanyak meredakan keadaan. Oleh sebab itu, kita fokus kepada pelancongan domestik,” katanya.

Bermula 11 Oktober kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri kepada individu yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Keputusan dibuat selepas kadar vaksinasi golongan dewasa negara mencapai tahap 90 peratus.


Pengarang :