Mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Dato Ahmad Razali membuat laporan polis berkenaan kemusnahan harta benda akibat banjir pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ambil laporan di pusat penempatan, mangsa banjir puji usaha polis

SEPANG, 23 DIS: Mangsa banjir di daerah Sepang memuji langkah polis yang menggerakkan anggota ke setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan terjejas banjir untuk membantu mangsa membuat laporan berkaitan kemusnahan atau kerosakan harta benda dialami mereka.

Jaafar Selamat, 64, berkata langkah itu amat memudahkan mangsa banjir yang tidak dapat ke balai polis membuat laporan kerana keadaan banjir kali ini amat teruk sehingga menyebabkan harta benda musnah sekelip mata.

“Saya masih tidak sempat ke balai polis kerana memikirkan nasib dan masih terkejut dengan musibah banjir yang menyebabkan semua harta benda musnah…paras air telah melepasi bumbung rumah ketika banjir pada Sabtu lepas.

“Saya juga harap bantuan daripada kerajaan dapat disegerakan kerana tiada yang tinggal dalam banjir kecuali nyawa ini sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Sekolah Rendah Agama Dato Ahmad Razali, di sini hari ini.

Rosmawati Juhari, 53, berkata inisiatif polis itu sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada mangsa banjir yang tidak sempat ke balai polis kerana masih hilang arah tuju dan tidak dapat memikirkan apa-apa kerana terkejut dengan musibah yang melanda.

Beliau berkata banjir ini memberi kesan mendalam terhadapnya kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda berikutan paras air naik mendadak sehingga melepasi bumbung rumahnya.

“Pada kejadian dalam 2 pagi Sabtu lepas, air memang naik cepat dan empat anak saya sedang tidur. Ketika itu saya kejutkan anak-anak dan cuba selamatkan benda penting ke tempat tinggi namun gagal kerana air naik terlalu laju sehingga paras pinggang dan tidak lama kemudian air sudah menenggelamkan meter elektrik.

“Saya terpaksa tutup suis elektrik dan berjalan dalam gelap kira-kira 500 meter untuk ke tempat lebih tinggi kerana dikhuatiri air akan terus naik. Kami hanya bergantung kepada cahaya kecil daripada telefon bimbit dan risau jika ada ular dalam air,” katanya sebak mengenang kejadian itu.

Rosmawati berkata suaminya berulang-alik setiap hari dari PPS untuk melihat keadaan rumah di Kampung Sri Tanjung kerana risau berikutan terdapat laporan menyatakan pencuri sudah memasuki rumah yang terjejas untuk mencuri tong gas, kereta dan motosikal.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata arahan telah diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah terlibat untuk membantu mangsa terjejas membuat laporan polis secara manual di PPS dan kawasan perumahan yang terjejas banjir.

Sementara itu, Ketua Polis Balai Dengkil Insp Sallehuddin Sulaiman berkata anggota polis akan mengambil aduan mangsa banjir secara manual di PPS menggunakan borang ‘pol 55’ bagi memudahkan orang ramai yang terjejas dengan banjir tidak perlu bersesak di balai polis selain memendekkan masa membuat laporan.

Selain itu, bagi mangsa banjir yang datang ke balai polis akan diberikan borang yang ringkas formatnya untuk diisi pengadu sebelum diserahkan kepada anggota polis yang bertugas bertujuan memendekkan tempoh menunggu.

Beliau menjangkakan Balai Polis Dengkil menerima 10,000 laporan berkaitan banjir yang melibatkan kemusnahan harta benda, sambil menambah permohonan pertambahan tiga buah komputer dan mesin pencetak telah dihantar ke Bukit Aman bagi menampung keperluan itu.

-BERNAMA


Pengarang :