AGENSI SELANGOR

B40 hilang kerja boleh mohon bantuan LZS hingga esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) buat golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dibuka hingga esok.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pemohon mestilah warganegara, menetap di negeri ini sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak berdaftar dalam senarai asnaf bawah agensi itu.

“Permohonan ditutup pada 10 Disember. Mohon sekarang di laman web rasmi LZS www.zakatselangor.com.my,” katanya di Facebook.

Bantuan sekali bayar yang boleh dimohon sejak 23 November dijangka memanfaatkan 15,000 keluarga.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bawah ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Selain bantuan kepada B40, seramai 7,000 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerima sumbangan tablet berserta data internet.


Pengarang :