Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahan bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANA

Bangkit perkukuh tekad, elak dihurung putus asa

Sempena kedatangan tahun baharu 2022, berikut perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Fajar tahun 2022 sudah menyingsing. Setiap kali menjelang tahun baharu, kita cenderung melakarkan suatu azam baharu. Cita-cita sebegini adalah kerana kita mahu masa hadapan yang lebih baik bukan sahaja untuk diri sendiri akan tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Kita memasang niat dan memperkukuhkan tekad untuk menjadi yang terbaik. Kita enggan dibelit rasa putus asa dan dihurungi kekecewaan. Kita tidak mahu mengalah. Kita segera bangkit.

Tatkala tirai tahun 2021 mula berlabuh, beberapa tempat di Selangor dirundung malang. Banjir melanda memusnahkan harta benda serta mengorbankan jiwa. Waima diterjah bencana, Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor bingkas bertindak menangani banjir yang dahsyat ini.

Kita memperlihatkan kekuatan sebenar rakyat Malaysia berbilang kaum. Kejernihan jiwa kita mengatasi kekeruhan perbezaan. Kita menyaksikan kerjasama para penjawat awam bersama sukarelawan membantu mangsa banjir walaupun berhadapan pelbagai geruh yang tidak diduga.

Pastinya ketika semangat memuncak mahu membantu, ada khilaf tertentu di sana sini. Namun kita sedar, semua yang terlibat mahu segera menyelamatkan dan membantu mangsa.

Bukan niat saya mahu mencipta seribu alasan. Apa sahaja kelemahan yang berlaku akan saya segera perbaiki dan pastikan ia tidak akan berulang. Berasaskan pendekatan “whole of society” (pembabitan semua lapisan masyarakat), kita tuntas memastikan segala bentuk bantuan disalurkan kepada mangsa banjir sama ada ketika mahupun selepas tragedi.

Kerajaan Negeri mula menyerahkan sumbangan bantuan Selangor Bangkit bernilai RM1,000 kepada mangsa banjir semenjak 28 Disember 2021. Setakat ini, 2,531 individu di semua sembilan daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor mendapat manfaat daripada bantuan ini, menjadikan jumlah awal sehingga ini RM2.5 juta.

KDEB Waste Management yang diamanahkan untuk mengurus sisa sampah melipatgandakan usaha dengan menyediakan sebelas stesen pengumpulan sementara setakat ini dengan 3,023 RORO (tong sampah pukal), 224 jengkaut dan 35 lori sewaan yang berjaya mengutip 13,000 tan sampah untuk kemudahan dan keselesaan semua.

Bagi melancarkan gerak kerja pascabanjir, sukarelawan naungan Kerajaan Negeri seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor berjumlah 2,500 orang turut turun padang untuk kerahan tenaga membantu proses pembersihan pascabanjir.

Sesungguhnya, bencana banjir 2021 ini seharusnya menjadi asbab untuk kita melakukan suatu anjakan paradigma. Acap kali ditegaskan bahawa perubahan iklim merupakan suatu cabaran besar buat kita semua. Namun amaran ini sering diremehkan. Kita memandang alam sebagai sesuatu yang layak ditakluk sedangkan manusia dan alam berakarkan suatu hubungan akrab yang jitu.

Menurut Profesor Ibrahim Komoo, profesor emeritus kluster alam sekitar dan kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia, bencana kali ini adalah “gabungan antara tanah runtuh di Sungai Penchala, aliran puing di hulu Sungai Lui, banjir puing di lembah Sungai Lui dan banjir besar di kebanyakan kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang”.

Mengambil iktibar daripada pelbagai faktor ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan perubahan iklim (climate change) sebagai salah satu elemen penting dalam sebarang perancangan di masa hadapan.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Selangor. Semoga iltizam, ikhtiar dan usaha kita untuk tahun hadapan lebih baik berbanding tahun ini, insya-Allah.


Pengarang :