Mangsa banjir membawa barangan sumbangan yang baru diterima di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat pada 31 Disember 2021. Sebanyak 237 keluarga mangsa banjir menerima sumbangan yang berupa dapur masak, alas tidur serta bantal. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Banjir: 237 keluarga Orang Asli Bukit Tadom terima alat kelengkapan rumah

BANTING, 31 DIS: Seramai 237 keluarga mangsa banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini menerima bantuan alat kelengkapan rumah sumbangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Bantuan dapur gas, selimut, bantal dan toto disampaikan oleh EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah di balai raya kampung berkenaan hari ini.

Borhan berkata sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Selangor (JP Selangor) dan Tanjong Wahyu Sdn Bhd sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kumpulan etnik terbabit yang turut terjejas dalam bencana dua minggu lalu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Borhan Aman Shah (tiga, kiri) bersama Sukarelawan Majlis Jaksa Pendamai Selangor (JP Selangor) menyerahkan sumbangan kepada 237 keluarga mangsa banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita dengar keluhan mereka yang turut terperangkap dalam banjir dan memerlukan bantuan khas. Jadi, bantuan sebegini memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Kita berterima kasih kasih kepada pihak berkaitan kerana sudi menyalurkan bantuan. Kita yakin selepas ini banyak lagi bantuan dari aspek pembersihan dan makanan akan diterima mangsa,” katanya kepada Selangorkini.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil Hamidi A Hasan dan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom Hadi Jembik.

Dalam perkembangan lain, Borhan yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat berkata tiada barangan warisan negeri ini yang rosak ekoran bencana terbabit berikutan kebanyakan ditempatkan di tempat tinggi.

“Alhamdulillah, sejarah warisan nampaknya tidak terlibat dengan banjir. Banyak barang warisan disimpan di muzium atas bukit misalnya di Kuala Selangor dan Bukit Jugra,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :