Penduduk menggunakan bot untuk melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih banjir sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan pada 29 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir: Agong titah penduduk lima negeri siap sedia

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Jan depan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kelmarin.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” kata Ahmad Fadil.

— BERNAMA

 


Pengarang :