Suasana di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) menghala ke Shah Alam yang memaparkan peringatan berkaitan wabak Covid-19 pada paparan elektronik di lebuh raya itu pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Banjir: Laluan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam dibuka semula

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Laluan di kedua-dua arah Kilometer 4.1, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dibuka semula kepada pengguna lebuh raya bermula 5.39 pagi tadi setelah ditutup akibat banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam, Selangor.

Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd, iaitu syarikat pengendali lebuh raya berkenaan bagaimanapun memaklumkan laluan di susur masuk dari bulatan Jubli Perak menghala ke Seksyen 23, Uptown Shah Alam dan susur masuk ke laluan utama menuju ke Kota Kemuning masih lagi ditutup.

“Laluan tersebut hanya akan dibuka semula setelah kerja-kerja pembersihan jalan selesai dilakukan dan selamat untuk laluan semua jenis kenderaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bagi membantu memastikan aliran trafik berjalan lancar, LKSA menempatkan pasukan peronda dan pengguna dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda amaran serta arahan pihak berkuasa yang berada di situ.

Orang ramai boleh mendapatkan kemas kini mengenai status trafik menerusi sistem mesej digital Variable Messaging System (VMS), platform media sosial Twitter LKSA @LKSAtrafik dan laman Facebook Prolintas Highways atau dengan menghubungi talian bebas tol di 1-3008-82801.


Pengarang :