Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong royong memasak pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Banjir: Syarikat berkaitan kerajaan digesa hulur bantuan untuk Dapur Ehsan

SHAH ALAM, 21 DIS: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini diminta tampil menyumbang dalam program Dapur Ehsan supaya lebih ramai mangsa banjir menerima bantuan makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan terhadap program digerakkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mampu meringankan beban mangsa terutama di kawasan dilanda banjir teruk.

“Kebanyakan mangsa berada di PPS (pusat pemindahan sementara) sudah ada jaminan bekalan makanan diselaras kerajaan tetapi masih ramai terputus bekalan di beberapa lokaliti antaranya Taman Sri Muda dan Kampung Baru Hicom.

“Saya minta agar anak syarikat lain turut menyumbang dalam program ini. Saya juga telah hubungi beberapa (GLC) dan mereka sedang aturkan, mungkin esok jumlah bungkusan makanan ditambah,” katanya.

Beliau ditemui pada program gotong-royong Dapur Ehsan anjuran PKPS di kediaman rasminya di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Dalam program itu, Amirudin meluangkan masa memasak makanan tengah hari untuk diedarkan kepada rakyat Selangor ditimpa musibah banjir.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairil memaklumkan antara 1,500 hingga 2,000 pek makanan tengah hari disediakan kakitangannya untuk diagih kepada mangsa terjejas sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, sebanyak RM3,000 diperuntuk sehari bagi menjayakan program Dapur Ehsan sehingga situasi banjir pulih sepenuhnya.


Pengarang :