EXCO Pembangunan Sosioekonomi V Ganabatirau menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bantuan ibu tunggal diselaras pastikan ramai dapat manfaat

SHAH ALAM, 7 DIS: Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS-IT) diselaras bagi memastikan lebih ramai golongan itu menerima manfaat negeri.

EXCO pembangunan sosioekonomi berkata seramai 1,661 individu menerima bantuan tersebut setakat Oktober lalu berbanding 5,000 kuota yang disediakan.

“Kita sedar ramai ibu tunggal di luar sana. Apabila memohon, perlu pengesahan mereka benar-benar ibu tunggal dan dokumen sampingan untuk sahkan pendapatan dan keadaan mereka.

“Program ini akan dinaik taraf kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tahun depan, kita akan selaraskannya,” kata V Ganabatirau.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Batang Kali Harumaini Omar berhubung permohonan rendah dalam program itu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Berhubung statistik keluarga miskin bandar dan ibu tunggal di Selangor, Ganabatirau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai data tersebut.

“Namun, statistik terkini bantuan dalam kategori ini sehingga Oktober lalu ialah RM14.7 juta untuk Bantuan Kanak-Kanak (BKK) manakala Bantuan Am Negeri (BA) pula RM10.9 juta,” katanya.

Bingkas memperuntuk RM300 sebulan atau RM3,600 setahun yang akan memanfaatkan 30,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) tahun depan.


Pengarang :