Seorang penduduk pangsapuri Seksyen 13 Shah Alam menghulurkan bantuan pek makanan dan minuman kepada pemandu yang lalu lalang di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pada 19 Disember 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bantuan makanan diagih kepada pemandu terkandas di lebuh raya

SHAH ALAM, 19 DIS: Persatuan penduduk sebuah pangsapuri di Seksyen 13 di sini hari ini turun padang mengagihkan 400 pek makanan dan minuman kepada pemandu yang terkandas di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Wakil penduduk Kamarulzaman Mohd Yusof, 50, berkata beliau dan isteri terfikir untuk menghulurkan sumbangan seawal Subuh tadi selepas melihat daripada tingkap rumah banyak kenderaan berada di jalan terbabit.

“Kemudian saya terus mesej dalam kumpulan WhatsApp kejiranan kami dan mereka bersetuju untuk kumpul duit bersama belikan makanan dan minuman kepada mereka.

“Alhamdulillah dengan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu…kebanyakan penerima mengadu memang lapar kerana terkandas lebih enam jam,” katanya kepada SelangorKini.

Isterinya Zawijah Ramli, 49, berkata mereka menempah bungkusan nasi dan mula agihkan seawal jam 7.30 pagi serta berehat seketika untuk membeli makanan tambahan.

“Kita sambung semula pada 10 pagi. Insya-Allah jika ada rezeki lebih kita akan tambah lagi,” katanya mengakui seronok membantu individu dalam kesukaran.

Ribuan pengguna lebuh raya dari kedua-dua arah ke Shah Alam dan Kuala Lumpur terperangkap selepas Kilometer (KM) 14.3 hingga KM 15.4 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Stesen Komuter Batu 3, dekat sini, selepas dinaiki air sejak semalam.


Pengarang :