Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad
AGENSISELANGOR

Bantuan segera disalur ke tiga kampung di Batang Kali

HULU SELANGOR, 19 DIS: Agihan bantuan kecemasan termasuk bekalan perubatan giat disalur kepada mangsa banjir beberapa kampung sekitar Batang Kali di sini berikutan kejadian itu sejak semalam.

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri berkata bantuan berkenaan antaranya kotak makanan kering, pek makanan bermasak, air mineral, susu tepung, lampin pakai buang, tuala wanita dan tilam.

Saifuddin Shafi Muhammad menambah penduduk Kampung Sentosa, Kampung Genting Malek dan Kampung Koskan diberi keutamaan untuk menerima sumbangan tersebut termasuk bekalan ubat-ubatan.

Beliau menjelaskan sembilan rumah di Kampung Genting Malek dinaiki air mengakibatkan 30 penduduk terjejas kira-kira jam 3 pagi tadi berikutan kenaikan paras air Sungai Batang Kali.

Katanya, tujuh rumah di Kampung Sentosa Batang Kali turut dinaiki air dan mereka ditempatkan di balai raya kampung berkenaan sebelum pulang sekitar jam 7 pagi.

“Terus berwaspada dan jangan biarkan anak-anak bermain air atau sungai yang berhampiran,” kata Saifuddin Shafi.


Pengarang :