Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air di Hulu Langat pulih 66 peratus, KL capai 20 peratus

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji itu pulih sepenuhnya, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat 1.30 tengah hari, LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 juga beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam esok (22 Dis).

Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, Air Selangor memberitahu proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan masih lagi dilaksanakan dan jangkaan bagi LRA itu beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan.

Air Selangor memaklumkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur telah mencapai tahap 47.8 peratus, dengan Petaling mencapai 100 peratus, Hulu Langat 66 peratus dan Kuala Lumpur 20 peratus.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu,” menurut Air Selangor.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :