Bekalan air di 463 kawasan melibatkan lima wilayah yang terjejas akibat pencemaran Sungai Semenyih pulih berperingkat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air empat wilayah pulih sepenuhnya, Petaling 90.7 peratus

SHAH ALAM, 17 DIS: Bekalan air di empat wilayah yang terjejas susulan pencemaran Sungai Semenyih semalam pulih sepenuhnya setakat jam 3 petang tadi.

Wilayah terbabit meliputi Hulu Langat, Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang sementara Petaling mendapat bekalan sehingga 90.7 peratus.

“Sehingga jam 3 petang, pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas mencecah 96.5 peratus,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Syarikat itu menambah tempoh pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dengan jangkaan pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam ini.

Air Selangor turut berharap pengguna yang sudah menerima bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman web https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas semalam susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih sekali gus menjejaskan bekalan air di 463 kawasan.

Berikutan itu, Air Selangor menggerakkan bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air ke kawasan terkesan dan premis kritikal sepanjang tempoh berkenaan.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

 


Pengarang :