Loji Rawatan Air Sungai Semenyih. Foto ihsan Air Selangor
AGENDA NASIONAL

Bekalan air makin pulih, minimum 80 peratus

SHAH ALAM, 17 DIS: Bekalan air di lima wilayah yang terjejas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih 92 peratus setakat tengah hari tadi.

Wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya, Putrajaya (95.7 peratus), Sepang (91.2 peratus), Petaling (90.1 peratus) manakala Kuala Langat dapat bekalan hingga 80 peratus.

“Bekalan air di semua kawasan terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam, 17 Disember,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Syarikat itu turut menyarankan pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman web https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas semalam susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih sekali gus menjejaskan bekalan air di 463 kawasan.

Berikutan itu, Air Selangor menggerakkan bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air ke kawasan terkesan dan premis kritikal sepanjang tempoh berkenaan.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

 


Pengarang :