Tabung Wakaf Air membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil di seluruh negara dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan pulih hampir 60 peratus, kawasan terjejas dibekal air minuman

SHAH ALAM, 21 DIS: Pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akibat henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) mencapai tahap 59 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya giat menghantar air osmosis berbalik (RO) di kawasan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan termasuk di Sungai Lui, Hulu Langat.

“Kami juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” tulisnya di Facebook.

Menurut Air Selangor LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air pulih sepenuhnya bagi 70 kawasan yang terjejas.

“Bagi LRA Sungai Langat dan Langat 2, kedua-dua loji beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam esok.”

Bagaimanapun, katanya, LRA Cheras Batu 11 masih menjalani proses pembersihan dan penilaian kerosakan dan jangkaan beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan.

Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat LRA disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.


Pengarang :