Hassan Sazali Mohd Waras dilantik sebagai pengendali baharu Skuad Projek FAM-MSN. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Bekas ketua jurulatih Harimau Muda C ketuai Skuad Projek FAM-MSN

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Bekas Ketua Jurulatih Skuad Harimau Muda C, Hassan Sazali Mohd Waras dilantik sebagai pengendali baharu Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Hassan Sazali akan memulakan tugas berkuat kuasa 1 Jan depan.

Menurut Mohd Saifuddin, pelantikan jurulatih berusia 56 tahun itu adalah bagi menggantikan tempat Yusri Che Lah yang mengumumkan peletakan jawatannya pada 10 Dis lepas.

Katanya, Hassan Sazali antara 11 calon ditemu duga panel pemilihan dari FAM dan MSN diketuai Timbalan Presiden FAM Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Tiga lagi ahli panel adalah Naib Presiden FAM Mohd Joehari Mohd Ayub selaku pengurus pasukan, Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin dan Ketua Cawangan Sukan Berpasukan MSN Akmal Ahmad Zainudin.

Sebagai rekod, Hassan Sazali pernah menjadi Penolong Jurulatih Skuad Harimau Muda A dan B kepada Datuk Ong Kim Swee dari 2009 hingga 2013 sebelum dilantik menjadi Ketua Jurulatih Skuad Harimau Muda C dari 2014 hingga 2015.

Beliau kemudian menjadi Penolong Jurulatih Skuad Kebangsaan kepada Kim Swee pada 2016 hingga 2017 sebelum menjadi Ketua Jurulatih Kelab PJ Rangers yang beraksi pada saingan Piala FAM 2018.

Selepas menumpukan perhatian kepada tugasan selaku tenaga pengajar bagi kursus-kursus kejurulatihan anjuran FAM sepanjang 2019, Hassan Sazali kemudian dilantik sebagai Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Perak pada awal 2020 sehingga kini.

Bagi menghadapi saingan Liga Premier 2022, Hassan Sazali akan dibantu Penolong Jurulatih Noor Zaidi Rohmat dan Jurulatih Penjaga Gol Hamsani Ahmad yang dikekalkan daripada barisan kejurulatihan Skuad Projek FAM-MSN musim 2021.

Skuad Projek FAM-MSN menamatkan saingan Liga Premier 2021 di tangga tercorot dengan mencatat hanya satu kemenangan, tiga seri dan 16 kekalahan dalam 20 aksi liga.

-BERNAMA


Pengarang :