Penulis buku ‘Jejak-Jejak Pencerahan Umat’ Prof Madya Datuk Dr Muhammad Nur Manuty bercakap kepada media selepas menghadiri Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekas presiden ABIM tulis buku memoir, kongsi khazanah Islam negara

SHAH ALAM, 2 DIS: Mahu generasi muda mewarisi khazanah Islam negara menjadi sebab utama bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghasilkan buku memoir.

Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata buku berjudul Jejak-Jejak Pencerahan Umat setebal 472 muka surat menceritakan pengalaman beliau sebagai saksi kebangkitan Islam.

“Dulu masa mula nak tulis buku ada orang bercakap. Sekarang (bila diterbitkan) ada ilmuwan kata buku ini wajib dibaca golongan muda untuk tahu kebangkitan Islam.

“Ini pengalaman dakwah sejak sertai ABIM. ABIM ajar perjuangan Islam dan selitkan juga sumbangan ABIM kepada negara terutama hubungan dengan dunia luar. Kita mahu pendekatan ABIM diikuti generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Bicara Buku: Jejak-Jejak Pencerahan Umat di Pesta Buku Selangor 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam.

Pada 23 November Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku terbabit di Bangi Resort Hotel, Bangi.

Memoir terbitan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu merakamkan kisah perjalanan Muhammad Nur,72, dalam bidang dakwah, pendidikan dan politik.

Ia berfokus kepada gagasan islah dan tajdid Islam yang marak di tanah air mulai dekad 70-an.

Penulis yang kini Presiden Kolej Dar al-Hikmah terlibat dalam proses tersebut setelah menerima pendidikan Islam formal dan tidak formal di dalam dan luar negara.

Buku yang memuatkan 10 bab itu turut mengisahkan perjalanan penulis memperjuangkan nilai-nilai universalisme Islam menerusi jalur Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bersifat majmuk bangsa dan agama.


Pengarang :