Anggota Angkatan Tentera Malaysia membantu membawa keluar seorang wanita setelah rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam ditenggelami air pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Bilangan tentera ditambah, aset negeri dikerah bantu penduduk Taman Sri Muda

SHAH ALAM 19 DIS: Kerajaan Negeri mengerahkan segala aset seperti bot bagi membantu proses membawa keluar mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang kritikal pada masa ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya difahamkan anggota tentera turut telah ditambah bagi membantu usaha tersebut.

“Saya mengambil maklum keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam. Segala aset yang sesuai seperti bot telah dikerah untuk membantu proses ‘evacuation’ mangsa banjir,” katanya dalam Twitter hari ini.

Laporan Bernama menyebut sebahagian penduduk di Taman Sri Muda terpaksa mencari perlindungan dengan memanjat bumbung kediaman mereka yang dinaiki air susulan hujan lebat.

Terdahulu Amirudin berkata lapan bot gelembung digunakan untuk membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar kawasan Taman Sri Muda.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan kemudahan itu perlu berikutan petugas Majlis Bandaraya Shah Alam dan sukarelawan sukar memasuki kawasan terbabit.

Setakat pagi tadi, seramai 300 penduduk Taman Sri Muda yang terkandas akibat banjir luar biasa diselamatkan dan ditempatkan ke pusat pemindahan sementara.

Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan bantuan bot persendirian dari individu dan orang awam bagi meningkatkan aset dengan menghubungi 03-5510 5811.

 


Pengarang :