Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Serahan Bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru, Taman Saujana Meru, Klang pada 13 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bina asrama pekerja asing, atasi isu penempatan tidak tersusun

MERU, 14 DIS: Bangunan asrama pekerja warga asing bakal dibina di lokasi sekitar Meru bagi menjaga keselesaan penduduk tempatan, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata perbincangan bersama beberapa pengusaha antaranya Top Glove Sdn Bhd (Top Glove) sudah dilakukan dan dipersetujui.

“Meru berdepan masalah kebanjiran warga asing dan penempatan tidak tersusun memandangkan sudah jadi kawasan industri. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan kurang selesa.

“Jadi kita syorkan syarikat besar bina penempatan khusus. Hasilnya beberapa lokasi sudah dikenal pasti dan pembinaan bermula tidak lama lagi. Langkah ini juga boleh atasi penyakit berjangkit yang boleh merebak penduduk setempat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 49 mangsa ribut di sini.

Mohd Fakhrulrazi berkata beliau akan memastikan perniagaan kedai runcit atau restoran yang ada dalam asrama itu dikendalikan penduduk setempat.

Pada 30 Ogos EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim ketika sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan inisiatif bakal diperkenal di kawasan perindustrian baharu bagi membolehkan pelabur dan pengilang mengurus kebajikan pekerja dengan lebih sistematik.

Beliau berkata antaranya kebenaran membina asrama setempat yang bertujuan memusatkan semua pekerja kilang dalam kawasan industri itu.


Pengarang :