Selangorkini
Banjir kilat akibat limpahan air sungai dan perparitan mengakibatkan beberapa jalan di sekitar ibu kota ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ketika tinjauan pada pagi 19 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bomba guna helikopter selamatkan mangsa banjir di Hulu Langat, Bentong

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia menggerakkan lima buah helikopter bagi melaksanakan operasi membantu mangsa di beberapa negeri yang terjejas akibat banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata seramai 40 anggota dan pegawai dikerahkan untuk melaksanakan operasi membantu mangsa banjir menggunakan helikopter bermula awal lagi ini.

Beliau berkata dua lokasi tumpuan pasukan tersebut setakat ini adalah di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.

“Setakat ini kita memberi tumpuan kepada dua kawasan tersebut kerana arus sungai yang deras dan ada mangsa terperangkap, tetapi mereka dilaporkan selamat kerana berada di kawasan tinggi bersama tujuh hingga lapan anggota bomba yang turut sama terkandas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Hisham berkata keadaan cuaca hujan dan angin kuat turut diambil kira sebelum aset helikopter diatur gerak bagi melaksanakan operasi membantu mangsa banjir.

Beliau berkata anggota diarahkan untuk mengenal pasti lokasi dan keadaan cuaca cerah sebelum melaksanakan operasi itu, bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini berlaku terutamanya apabila keadaan hujan.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, pihaknya menerima 1,800 panggilan kecemasan di seluruh negara, dengan 1,600 adalah dari kawasan Selangor yang terjejas akibat banjir.

“Cabaran utama kita adalah untuk memberi respon cepat dan halangan utama adalah bagaimana untuk masuk ke kawasan terjejas dengan jalan yang ditutup, serta ada kereta yang terperangkap di atas jalan.

“Kita mohon mangsa untuk bersabar dan kita akan cuba masuk untuk membantu,” katanya.

Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi, serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah dinaiki air.

-BERNAMA


Pengarang :