Penyediaan terusan dan mengepam air takungan antara langkah diambil Kerajaan Negeri pada 24 Disember 2021 supaya air banjir surut dengan cepat di Bukit Changgang. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Buat terusan, pam air bertakung, Bukit Changgang surut esok

SHAH ALAM, 24 DIS: Penyediaan terusan dan mengepam air takungan dilakukan bagi menangani masalah banjir di Bukit Changgang dekat sini.

Dato’ Menteri Besar berkata ia adalah antara kaedah diambil dalam usaha menyelesaikan musibah berlaku di kawasan tersebut.

“Beberapa langkah tambahan dengan penyediaan terusan dan mengepam air yang bertakung telah berjaya surutkan air lebih pantas. Menjelang esok InsyaAllah dijangka Bukit Changgang akan surut sepenuhnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Rabu lalu, beliau memaklumkan seramai 1,400 mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang dengan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan keperluan asas.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :