Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Cabang KEADILAN Kuala Selangor buat pembetulan papan tanda silap cetak

SHAH ALAM, 10 DIS: Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kuala Selangor bertindak segera membuat pembetulan berkaitan isu kesilapan cetakan bahasa pada panda tanda di peringkat ranting.

Ketuanya, Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya berasa kesal dan memohon maaf atas kesilapan yang tidak seharusnya berlaku itu.

“Saya merasa kesal atas isu kesilapan cetakan bahasa pada papan tanda ranting Cabang Kuala Selangor yang telah dipasang di beberapa lokasi dan tindakan segera pembetulan sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Papan tanda yang diletak di ranting-ranting KEADILAN Kuala Selangor sebelum ini memaparkan pelbagai bahasa iaitu bahasa Melayu dalam tulisan rumi serta Jawi,  Cina dan satu lagi sepatutnya menggunakan tulisan Tamil.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata Cabang Kuala Selangor sentiasa mengangkat prinsip keadilan dan kepedulian untuk seluruh rakyat serta menghormati kepelbagaian kaum dan agama.

“Kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan yang harus dipupuk bersama untuk mencapai matlamat yang lebih besar demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :