Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei terima anugerah Ijazah Kehormat USM

ARAU, 2 DIS: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan ijazah itu di Istana Arau.

Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata ijazah kehormat dianugerahkan kepada Chong Wei di atas jasa baktinya dalam mengharumkan nama negara sebagai pemenang pingat perak sebanyak tiga kali pada Sukan Olimpik selain merupakan Tokoh Sukan Negara.

“Selain beliau (Chong Wei), empat lagi individu menerima anugerah masing-masing hari ini iaitu Dr David Lacey yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains. Beliau merupakan tokoh industri yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

“Bekas akademia USM, Prof Emeritus Dr Zhari Ismail menerima gelaran Profesor Emeritus, manakala bekas Naib Canselor wanita pertama USM Datuk Dr Asma Ismail menerima gelaran Profesor Emerita,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menganugerahkan Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) kepada Khaw Teng Kang, graduan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang mencapai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.97.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui selepas istiadat itu berkata beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan USM dalam memajukan bidang Sains Sukan.

“Pertama kali saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang sukan ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemain badminton negara supaya mempersiapkan diri bukan sahaja dengan keupayaan dan kekuatan fizikal sebaliknya perlu mempunyai ketahanan mental yang kuat dalam menghadapi cabaran.

Sidang kedua hingga ke-10 Istiadat Konvokesyen USM akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, Pulau Pinang pada 13 hingga 21 Dis ini.

Seramai 1,899 individu akan menerima Ijazah Kedoktoran dan Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).

-BERNAMA


Pengarang :