Sukarelawan Selvax membantu orang ramai mendaftar aplikasi SELangkah bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Serbaguna Taman Kinrara, Puchong pada 26 September 2021. Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat lebih 4,000 kes, enam kluster baharu

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan 4,626 menjadikan jumlah keseluruhan 2,688,149 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes harian itu, 4,531 kes merupakan pesakit kategori satu dan dua, manakala selebihnya adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 396 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi manakala pesakit memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 211 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai bilangan kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 4,690 kes dilaporkan menjadikan keseluruhan kes pulih daripada virus itu adalah 2,596,509.

Selain itu, beliau berkata enam kluster baharu turut dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif di seluruh negara adalah 250 setakat ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 298 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan bagi tempoh 19 Nov hingga 8 Dis lepas antaranya membabitkan kes varian Delta, Beta dan Omicron.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) adalah 4,990 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.97 setakat semalam.

-BERNAMA


Pengarang :