Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen pada 13 September 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari darurat ke bencana, politik 2021 terus bergolak

Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengisytiharan darurat awal 2021 memanjangkan kekuasaan politiknya.

Berselindung di balik retorika kawalan Covid-19, perintah ketat itu yang bermula 11 Januari bagaimanapun mempercepatkan lagi kejatuhan pentadbirannya.

Semua pergolakan ini berlarutan sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan keretakan semua gabungan dan malah dalam parti masing-masing.

Perdana menteri dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah lekang dipersoal susulan permohonannya mengisytiharkan darurat.

Sembah permohonan pertama ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak diperkenan.

Ketika permohonan dibuat pada 23 Oktober, negara merekodkan 710 kes Covid-19. Namun ada suasana politik yang tidak memihak kepada Muhyiddin apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) retak susulan persengketaan hebat menjelang dan selepas pilihan raya negeri Sabah sebulan sebelumnya.

Tidak berpuas hati soal agihan kerusi dan jawatan ketua menteri, Umno mengugut menarik sokongan.

Setelah dimohon kali kedua, ketika jumlah kes sedikit meningkat mulai hujung tahun, darurat berjaya dikuat kuasa hingga 1 Ogos dengan alasan membendung virus.

Muhyiddin kelihatan boleh menarik nafas lega tetapi Umno, khususnya kumpulan pemimpin di luar kabinet yang diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, terus-menerus menggoncang takhta kuasa PN.

Sepanjang tempoh darurat, sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang, sekali gus mengundang reaksi pelbagai pihak yang menyifatkannya cubaan untuk merencatkan demokrasi, menjejaskan proses semak dan imbang berhubung pelbagai perbelanjaan pandemik.

Pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak juga digantung.

Prasangka membiak

Sehubungan itu, prasangka awam sama ada Umno atau pembangkang terus membiak, seolah-olah darurat hanyalah helah Muhyiddin terus berkuasa lantaran hilang sokongan ahli-ahli parlimen gabungan PN-BN.

Suara prasangka ini terus bergema apabila darurat ternyata gagal membendung Covid-19. Malah, jumlah kes terus memuncak mulai April walau tanda menurun direkodkan pada Februari dan Mac tahun ini.

Pada 29 Mei, 9,020 kes jangkitan dicatat, lebih kurang empat kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat berkuat kuasa.

Kecaman terhadap ahli parlimen Pagoh semakin kuat. Sidang Dewan Rakyat tidak diadakan walau Seri Paduka Baginda sendiri menzahirkan titah agar persidangan Dewan Rakyat diadakan seawal 24 Februari.

Bersama Majlis Raja-Raja, Baginda mengulangi titah yang sama pada 16 dan 29 Jun, antaranya bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dan menyemak pelan pemulihan termasuk vaksinasi yang lembab.

Mesyuarat khas Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja diadakan di Istana Negara pada 16 Jun. Seri Paduka Baginda bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos.

Raja-raja Pemerintah senada dengan Al-Sultan Abdullah yang menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Susulan desakan itu, kerajaan Muhyiddin mengumumkan Dewan Rakyat bersidang selama lima hari mulai 26 Julai. Namun apabila tiba tarikh persidangan, aturan mesyuarat hanya membabitkan taklimat khas beberapa menteri.

Tiada perbahasan, usul dan pengundian seperti lazimnya. Sidang itu tiba-tiba mencetus kontroversi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan waktu itu memaklumkan Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuat kuasa 21 Julai.

Kenyataannya bukan sahaja dipersoal pembangkang, malah Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya pada 29 Julai amat dukacita pembatalan Ordinan Darurat dibuat tanpa perkenan Baginda.

Al-Sultan Abdullah mengulangi titah agar ordinan penting itu dibentang dan dibahaskan seperti hasrat Baginda.

Bagaimanapun isu darurat tidak sempat dibahaskan seperti dititahkan berikutan penutupan bangunan Parlimen pada 2 Ogos.

Dilaporkan berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangannya. Belum reda kontroversi itu, suhu politik negara terus panas apabila wakil rakyat Umno Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli pada 3 Ogos.

Nasi jadi bubur

Parti itu kemudian menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan mendakwa Muhyiddin hilang majoriti. Saat itu nasi mula menjadi bubur. Meski mendakwa masih mempunyai sokongan, Muhyiddin terpaksa akur dan meletak jawatan pada 16 Ogos.

Pentadbirannya hanya bertahan 17 bulan, lebih pendek daripada tempoh 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dikhianatinya.

Darurat membawa bencana kepada Muhyiddin, Umno mengkhianatinya seperti beliau belot daripada gabungan asal yang sama-sama didirikannya pada 2017; gabungan terhebat yang memecah rekod kekuasaan BN sepanjang 61 tahun.

Hasrat Umno untuk merampas tampuk kuasa Putrajaya akhirnya termakbul juga apabila Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik perdana menteri kesembilan, ketua kerajaan ketiga dalam tempoh tiga tahun akibat keretakan kuasa yang luar biasa sejak Langkah Sheraton.

Cepat mengambil iktibar daripada kejatuhan pendahulunya, beliau segera menjalin kerjasama dengan HARAPAN melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September, tiga minggu selepas berada di puncak kuasa.

Kerajaan BN-PN diwakili Ismail manakala HARAPAN pula membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Meski memeterai perjanjian itu, khususnya bagi membendung wabak Covid-19, Anwar yang juga ketua pembangkang menegaskan HARAPAN akan terus berperanan sebagai penyemak dan pengimbang Putrajaya.

Namun usaha murni Ismail itu tidak berpanjangan. Berdepan Umno yang tidak seia sekata, ketua Keluarga Malaysia berdepan pula dengan keretakan rumah tangga partinya sendiri di Melaka.

Kerajaan gabungan BN-PN tumbang selepas empat wakil kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan pada 4 Oktober. Tindakan politik mengejut itu dan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri dikatakan tidak dimaklumkan kepada Ismail.

Walau Umno menang besar dalam pilihan raya negeri pada 20 November tetapi keretakan gabungan BN dengan PN begitu jelas apabila kedua-duanya bersaing dengan HARAPAN.

Malah PAS yang mahu bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional sejak 2018 mengambil langkah tegas meninggalkan parti itu untuk bersama Bersatu.

Gelagat menteri kabinet Ismail dalam pilihan raya negeri agak ganjil apabila mereka dilihat tidak sungguhsungguh menentukan kemenangan calon Umno.

Ketika menyambut 100 hari pentadbirannya, kabinet Ismail dipertikai lagi apabila barisan menterinya diberikan markah 90 peratus.

Malah program sambutan itu, 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, berdepan denda apabila melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Namun bencana politik terbesar yang dihadapinya ketika berdepan banjir baru-baru ini. Macam-macam gelagat menteri dipertikai dengan leluasa di media sosial, selain tiada penyelarasan antara beberapa badan utama seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Pendek kata, politik sepanjang tahun ini dipenuhi krisis demi krisis yang meresahkan orang ramai. Harapan pada pemimpin politik seperti tidak kesampaian.

Sejak pembelotan 2020, ahli-ahli politik termasuk pembangkang terus disoroti dengan tajam. Rakyat, semuda golongan berusia 18 tahun, tentunya menunggu pilihan raya umum nanti untuk menyuarakan pertikaian dan kegelisahan mereka.

Apakah hajat baharu rakyat jika pilihan raya umum diadakan pada 2022?


Pengarang :