EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap merasmikan Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dataran Hijrah himpun peniaga, medan pasarkan produk

SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi mewujudkan pusat perniagaan yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Usaha termasuk pembangunan Dataran Hijrah di Gombak, Puchong dan Kuala Langat, satu lagi tarikan terbaharu buat penduduk setempat serta pengunjung luar, jelas Rodziah Ismail.

“Tempat itu memang sudah ada di bangunan yang lama terbiar dan jadi seperti ‘gajah putih’, namun kita bangunkan semula dengan memberi nafas baharu.

“Ia bukan sahaja memanfaatkan penduduk sekitar malah pengunjung luar kerana mereka boleh mendapatkan hasil dan produk tempatan,” katanya pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Rodziah berkata sebanyak 20 peratus daripada 30,000 usahawan Hijrah berjaya melebarkan perniagaan ke tahap lebih tinggi dan mampu berdikari.

“Maka kita boleh gabungkan usahawan ini sebagai pemangkin dalam pembangunan Dataran Hijrah. Pendek kata, dulu kita sediakan pinjaman tetapi sekarang kawasan untuk pasarkan produk.

“Apatah lagi kita juga memiliki platform dalam talian, jadi mereka boleh gunakan kaedah itu untuk menjual produk,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 menambah baik skim Hijrah, yang antara lain mewujudkan pusat perniagaan Dataran Hijrah berkonsepkan pemusatan pelbagai perkhidmatan bawah satu bumbung.

Turut diwujudkan skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi untuk meningkatkan perniagaan ke tahap perusahaan kecil dan sederhana dengan pembiayaan sehingga RM100,000.

Selain itu, jumlah minimum pinjaman dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000 bagi program Zero-to-Hero selain mengurangkan caj pengurusan untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.


Pengarang :